Sinopsis Novel Suamiku Encik Sotong Karya Syikin Zainal

Novel Suamiku Encik Sotong

Novel : Suamiku Encik Sotong
Ketebalan : 610 Halaman
Penerbit : Ilham Karangkraf (Buku Prima)
Pengarang : Syikin Zainal


Erica Soffea melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bukanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan ketika bacaan wasiat.

Naik senak kepala Erica bila dia terpaksa dijodohkan dengan sotong peliharaan nenda, Farish. Dah la tak macho, pakai baju warna pink. Kalau bercakap tangan bukan main lentik lagi macam orang nak main mak yong.  Itulah syarat ditetapkan nenda untuk Erica.

Farish terpaksa menerima Erica kerana dua sebab. Pertama, sebab wasiat arwah Tengku Khaleeda. Kedua, kerana tidak tahan dengan perangai berlagak Erica. Lagipun bukan lama sangat dia perlu bergelar suami pada diva yang berlagak itu, tiga tahun sahaja. Dalam tempoh perkahwinan mereka jatuh cinta. Tapi…. Cinta itu bukan mereka berdua. Milik siapa ya?

Cinta Erica dan Farish tersasar jauh. Erica bercinta dengan abang sepupunya sendiri iaitu Izhan dan Farish pula bercinta dengan Dhia Adirra. Perkahwinan mereka hanyalah sekadar catatan di atas kertas yang tidak mempunyai apa-apa makna.

Erica telah terlanjur dengan Izhan sehingga mengandung dan ketika itu masih isteri Farish. Hubungan Erica dan Izhan mendapat tentangan dari Tengku Atylia iaitu ibu Izhan. Malah, Tengku Atylia ingin menjodohkan Izhan dengan Qarina.

Encik Sotong (Farish) bukan lelaki biasa, tetapi lelaki yang sanggup berkorban segala-galanya demi tidak mahu melihat Erica merana. Walaupun jiwa lelakinya menderita, tapi sampai bila?

Cinta Farish hanya untuk Dhia Adirra. Dia telah berkorban dengan menjaga Erica dan mengaku anak yang dikandung Erica adalah miliknya ketika hubungan Erica dengan Izhan mengalami krisis. Sikap tidak ingin bersemuka dalam menyelesaikan masalah menyebabkan hidup Erica merana. Izhan amat mencintai Erica. Tetapi tidak mengetahui apa salahnya sehingga Erica sanggup memutuskan hubungan mereka.

Dhia Adirra mengetahui bahawa cintanya telah dipermainkan kerana Farish tidak berterus terang dengan perkahwinannya, telah lari membawa diri. Farish menjadi kesepian kerana Dhia Adirra tidak mahu mendengar sebarang penjelasan.

Akhirnya semua masalah dan rahsia telah terungkai, Erica kembali kepada Izhan dan melangsungkan perkahwinan mereka. Hubungan Dhia Adirra dan Farish juga kembali mewangi apabila Erica tampil menceritakan segalanya.


“Amboi sedap aje mulut kau mengata kat aku. Aku pun tak ingin nak ambil perempuan macam kau jadi isteri aku tau. Mulut macam puaka.” – Farish

“Bukanlah Kak Ain, bukan Rica nak sembunyikan suami Rica. Tapi dia sibuk maklumlah nak jahit baju pertunangan Izhan dengan Qarina. Faham-faham ajelah golongan tengku-tengku ni bertunang pun kena buat yang grand. Baju tu kalau boleh bukan setakat labuci, lampu lip-lap tu pun kalau boleh dipasang kat baju. Itu yang suami sakit kepala. Nak fikir macam mana nak letak lampu lip-lap kat pergelangan tangan,” - Erica