Memaparkan catatan dengan label Pemimpin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemimpin. Papar semua catatan

KEMAHIRAN BAGI PEMIMPIN

Ada orang beranggapan bahawa seorang pemimpin ‘dilahirkan sebagai pemimpin’. Ini bererti bahawa sifat-sifat kepimpinan adalah wujud secara semula jadi. Tidak kira di mana dia berada, seseorang individu yang dilahirkan begini akan diberikan peranan sebagai pemimpin. 

Ramai juga beranggapan bahawa seseorang itu tidak lahir sebagai pemimpin tetapi dia telah mempelajari kemahiran-kemahiran sebagai pemimpin setelah dilahirkan. Contohnya ahli keluarga menunjukkan kemahiran-kemahiran kepimpinan dan diberi galakan untuk menunjukkan kepimpinannya. Seterusnya di sekolah dan dalam kalangan kawan-kawannya keyakinan diri yang diperolehi sejak kecil yang diperkukuhkan oleh ahli keluarga membuat dia menonjol sebagai pemimpin.

Kita dapat melihat pemimpin yang berkesan biasanya menunjukkan beberapa kemahiran tertentu. Kemahiran-kemahiran ini boleh dipelajari. Senarai kemahiran yang lazimnya terdapat pada seseorang yang bersifat pemimpin termasuklah :




1) Kemahiran Mendengar


Seseorang yang mempunyai sifat kepimpinan mempunyai kesabaran mendengar dengan teliti apa yang sedang diperkatakan oleh orang lain supaya dia memahami sesuatu sepenuhnya sebelum dia bertindak. Dia juga biasanya mempunyai kemahiran yang menggalakkan orang lain bercakap kerana dia menunjukkan minat untuk mendengar. 

Orang yang bercakap dengannya merasa diri mereka dihargai dan pendengar ini menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang apa yang sedang diperkatakan.
Contoh :
a) Peristiwa perempuan tua dengan Nabi Muhammad S.A.W.
b) Pendapat Salman Al-Farisi tentang membina parit / ‘khandak’.


2) Kemahiran Memberi Penjelasan


Seseorang yang mempunyai sifat kepimpinan dapat menggunakan perkataan yang boleh difahami oleh orang yang mendengarnya. 

Dia boleh memberikan penjelasan dengan jelas kepada sesuatu kemusykilan yang ditujukan kepadanya.
Contoh :
a) Peristiwa dakwah di Bukit Sofa.
b) Peristiwa Hijrah Ke Habsyah dan dialog dengan Najasyi.


3) Kepakaran


Seseorang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman tertentu akan lebih disanjung oleh orang lain walaupun dia tidak perlu mempunyai kepakaran di dalam segala aspek. Kepakaran ini tidak bererti bahawa dia mendapat kelulusan ilmiah yang tinggi.

Seseorang yang telah mengumpulkan banyak pengalaman juga dianggap sebagai pakar di dalam sesuatu perkara. Pemimpin yang tidak pakar perlu mendapatkan sokongan kepakaran bagi meningkatkan lagi kepercayaan pengikut terhadap dirinya. Oleh itu, ikutilah contoh Rasulullah S.A.W.


4) Kemahiran Percakapan Umum


Kemahiran bercakap di hadapan khalayak ramai merupakan satu aset yang penting. Ini tidak bererti bahawa dia perlu dapat bercakap dengan lancar dan berapi-api. 

Cara percakapan yang terlalu emosional kadangkala kurang berkesan jika dibandingkan dengan cara percakapan yang menunjukkan kejujuran, ketenangan dan kejelasan pemikiran. Justeru itu, kita perlu belajar cara berkomunikasi individu dan pidato umum. Sebagai latihan satu kumpulan usrah atau keluarga boleh dibentuk.


5) Kemahiran Menenangkan Suasana


Kemahiran ini diperlukan bila terdapat satu keadaan yang tegang antara beberapa pihak. Seseorang bersifat pemimpin dapat menenangkan keadaan dengan membantu pihak-pihak yang terlibat menyelesaikan masalah mereka secara senang dan tenang. 

Sebaliknya, seseorang yang tidak mempunyai kemahiran ini akan memihak sesuatu pihak sahaja. Dia akan memburukkan lagi keadaan dengan kehadirannya. Cuba kita lihat bagaimana Nabi Muhammad S.A.W menyelesaikan peristiwa Hajar Aswad.


6) Kemahiran Dalam Penyelesaian Masalah


Seseorang yang mempunyai sifat kepimpinan berfikir ke arah penyelesaian masalah. Dia menganalisa sesuatu keadaan ataupun penyelesaian masalah dengan teliti dan memikirkan pilihan-pilihan untuk bertindak dan seterusnya dia mengambil sesuatu tindakan. 

Seseorang yang tidak mempunyai kemahiran ini cuba melarikan diri daripada masalah ataupun tidak mahu berbincang dan mengambil sesuatu tindakan yang konkrit.
Contoh :
a) Kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W. menyelesaikan masalah Arab Badwi yang buang air kecil dalam masjid.
b) Nabi Muhammad S.A.W. menyelesaikan kisah sahabat yang bernama Saad al-Sulami yang ingin berkahwin.


7) Kemahiran Melalui Teladan (Model)


Pemimpin yang baik lebih suka melakukan sesuatu untuk membetulkan dirinya daripada terlalu banyak mencuba membetulkan orang lain. Dengan tidak disedarinya, dia menunjukkan satu teladan yang baik kepada orang lain. 

Dia sentiasa sedar dirinya diperhati dengan teliti oleh pengikut-pengikutnya. Jadilah pemimpin yang berkualiti dengan mengikut contoh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat yang telah dijamin masuk syurga.


8) Kemahiran Memotivasikan Orang Lain


Pemimpin mempunyai kemahiran menaikkan semangat orang lain untuk bertindak. Dia memberikan pujian dan ganjaran serta menunjukkan penghargaannya terhadap sumbangan orang lain. 

Dia sedar bahawa manusia lebih memerlukan galakan daripada arahan untuk bertindak. Cuba kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W. menyatupadukan kaum Ansar dan kaum Muhajirin.


9) Kemahiran Mempengaruhi dan Mengawal Perbincangan


Pemimpin mempunyai kemahiran menentukan sesuatu perbincangan berjalan dengan lancar, bernas dan tertumpu kepada isu-isu yang perlu diberikan tumpuan utama supaya dapat menghasilkan sesuatu idea, penyelesaian yang positif dan konkrit. 

Dia dapat mengawal seseorang yang terlalu banyak bercakap serta dapat meransang orang yang malu untuk bercakap. Dia dapat melahirkan sesuatu pandangan tanpa membuat orang lain merasa tersinggung.
Contoh :
a) Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah S.A.W. dengan orang Quraisy.


10) Kemahiran Pengurusan Diri


Pemimpin boleh menguruskan tubuh badannya dengan baik di mana dia kelihatan kemas, sihat dan bertenaga. Dia boleh menguruskan pemikirannya supaya memikirkan sesuatu secara positif pada masa yang pemikirannya tidak lari daripada realiti yang sebenar.

Dia memahami suasana jiwanya dan mengetahui apakah tindakan yang perlu untuk mengawal perasaannya. Dia cuba memahami kenapa dia melakukan sesuatu serta kekuatan dan kelemahan yang terdapat pada dirinya.

Dia cuba menguruskan tenaga dan masanya dengan baik serta menentukan sumber-sumber yang terhad seperti wang diuruskan dengan rapi. Dia juga menyedari bahawa suasana hidup dalam keluarga juga perlu kepada pengurusan yang baik.



CIRI-CIRI ORANG YANG BERMOTIVASI TINGGI


a) Sentiasa awal dan mendahului
b) Sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh
c) Sentiasa rajin dan tekun
d) Sentiasa bersikap optimis dan positif
e) Sentiasa cekap dan tabah
f) Sentiasa memperbaiki diri dan keadaan
g) Sentiasa menghasilkan kerja yang cemerlang